Sunday, November 14, 2010



“Mana Nadira ni ??? Mana dia ???” kalut suara seorang perempuan separuh usia.

Nadira yang sedang mengatur dengan teliti cupcake comel pada cupcakes tier yang berbentuk gulung, terus tersentak, nasib baik cupcake itu tidak terlepas dari pegangannya.

Perempuan itu, Datin Muhaini, pelanggan terkini O&D Party Planner. Dia menjegilkan mata dan wajahnya nampak tertekan. Kerja Nadira terhenti, dan dengan hati-hati dia meletakan semula cupcakes yang berising putih berbunga merah jambu. Datin Muhaini yang sudah berdiri di sebelah tampak semakin tertekan melihat reaksi Nadira yang relaks dan tenang.

“Nadira !” Suaranya dilontar begitu nyaring dan tinggi. “Saya dah ingatkan awak semalam kan ? Saya mahukan napkin linen putih bersulam bunga kecil berwarna merah jambu, yang berbau wangi haruman mawar.”

Napkin linen biru bersulam bunga kuning yang telah digosok rapi,dan di sembur haruman melur di layangkan di hadapan muka Nadira, yang terpaksa mengundurkan sedikit kepalanya, kalau tidak tentu di sepak-sepak napkin harum itu. Nadira mengerutkan dahi, menghadapi pelanggan yang sukar seperti Datin Muhaini memang menuntut kesabaran yang tinggi.

“Ye, tapi semalam Datin juga yang minta untuk diselang selikan warna putih dan bi..” tidak sempat dia menghabiskan ayat Datin itu terus melepaskan dengus kasar.

“Tidak…Tidak ! Saya cakap semua putih dan merah jambu..” matanya bulat. Rambut yang sudah di set ala Sharifah Aini bergoyang-goyang. Tentunya dia buat-buat lupa dengan apa yang sudah dia tetapkan semalam.

Nadira menarik nafas perlahan-lahan, cuba mengawal emosi, dia harus pastikan suara yang bakal dikeluarkan adalah senormal mungkin.

“Camni Datin, kita dah kesuntukan masa sangat…”

“Saya tak kira Nadira, I want white linen with pink flowers scented with rose…TUKAR !”

Datin Muhaini bingkas meninggalkan Nadira yang terpedip-pedip. Oya yang sedang membuat hiasan akhir pada salah satu hidangan terlopong. Matanya menyingah ke arah Nadira yang sedang sedaya upaya menghadirkan senyuman.

Tugas sebagai seorang perangka majlis adalah memastikan majlis yang di kehendaki berjalan selancar mungkin. Misi utama O&D Party Planner adalah mecungkil rasa bahagia setiap yang hadir ke majlis yang di raikan. Bukan senang merangka sesebuah parti, nak kena tahu temanya, nak kena tahu jemputannya. Kalau pelanggan orang yang cerewat bertambah rumitlah jadinya kerja yang terpaksa di lalui Nadira dan Oya. Tapi tiap kali bila selesai majlis, Nadira akan rasa puas, puas kerana, tetamu yang di raikan tuan majlis akan pulang dengan keriangan di hati dan tuan rumah akan sentiasa mengingati saat indah bersama teman-temannya.

Apa yang baru terjadi adalah antara yang tidak seronok dalam pekerjaan seorang perangka majlis. Pertukaran di saat-saat akhir, memang menyenakkan perut. Banyak pengalaman yang di tempuhi Nadira sepanjang dua tahun bergelar seorang ‘Party Planner’, antaranya; pelanggan buat-buat lupa tentang perkara yang telah di persetujui, pelanggan mencampuri setiap urusan dan akhirnya acara yang berlangsung menjadi kurang seri, akhirnya Nadira dan Oya juga di persalahkan dan yang paling teruk pernah adalah apabila segala persiapan sudah disiapkan tetapi terpaksa dibatalkan kerana orang yang hendak diraikan sudah meninggal dunia. Semua pengalaman itu membuatkan Nadira mahupun Oya sentiasa berhati-hati dalam menerima satu-satu tempahan.

Oya merengus dan terus keluar dari dapur itu. Dia, adalah sahabat baik Nadira dan juga merupakan rakan kongsi. Mereka membesar bersama-sama. Mereka memasang cita-cita yang sama. Sebagai penghuni di Baitul Saadiah , sebuah rumah anak yatim, mereka mengharungi setiap detik suka atau duka bersama-sama. Sudah 34 tahun menyusuri segalanya bersama, terpisah sekejap apabila dua-dua mendapat peluang melanjutkan pelajaran tetapi hati mereka tetap bersatu di mana pun mereka tercampak.

“Benda macam nilah aku tak suka tau,” katanya sekembali dari mengambil napkin linen yang di mahu. “Nasib baik la aku dah siap sediakan….” Dia terus membebel. “Aku dah kata ngan kau semalam kan, perempuan tu psycho sikit….” Dia memperlahankan suaranya dan mengenyit mata seolah cuba meredakan keresahan yang melanda hati Nadira. Tawa kecil terlepas dari bibir tipis milik Nadira, dan hatinya amat lega apabila melihat napkin yang diminta Datin Muhaini terlipat kemas di dalam sebuah kotak.

“Alhamdulillah, nasib baik kau cekap Oya…kalau tak mampus kita….”

“Hey…it comes with experience la…”

Dia terus berlenggang masuk ke ruang tamu yang telah di transformasikan menjadi sebuah ruang makan berkonsepkan English Garden, bau harum Ros Merah disulami Calla Lilies berwarna putih dan Pink Daisies menusuk lembut, percikan air dari pancuran kecil di tengah-tengah ruang itu berkilau-kilau di simbah cahaya lampu Chandeliar kristal.

“Oya, this is better girl. Macam nilah….” Datin Muhaini menepuk-nepuk bahu Oya.

“Kami dah biasa dengan last minute change of mind ni Datin…so kami dah siap-siap..”

“Oh..” jawab Datin Muhaini ringkas lantas beredar sambil-sambil itu mencuit pinggan Noritake berwarna krim di kelilingnya saduran emas, seolah-olah memastikan setiap inci pinggan itu tiada cacat celanya.

Oya kembali ke dapur dan memerhati Nadira masih lagi menyempurnakan susunan cupcakes.

“Ms Perfectionist !” perlinya tersengih-sengih.

Mata Nadira tepat pada susunan kek comel di tier-kek. Dia puas hati, susunannya menyerlahkan lagi setiap kuntuman bunga yang menghiasi kek kecil itu.

“Siap. Aku nak bawak ni ke ruang hadapan, tolong buka pintu tu..PLEASE !”

TETAMU sudah mula memenuhi ruangan besar itu. Jemputan yang sekitar 50 orang wanita riuh di selang seli dengan tawa yang panjang dan di hangatkan dengan gosip-gosip yang boleh membulatkan mata.

“Puan Sri, apa khabar ?” Datin Muhaini berjalan mendepangkan tangannya. Mereka berdakapan dan melagakan pipi. “Hmm..I can see a new Chopard shining on your cute little finger….” Dia membisikan ke telinga Puan Sri Suhaida yang tersenyum bangga.

“Wah cantik betul hiasan malam ini.” Puji Puan Sri sambil melihat sekeliling.

“Ye..I boleh cadangkan dekat you Puan Sri…mm..ya tu dia..” Datin mengamit ke arah Nadira yang sedang mengawasi supaya semuanya di dalam keadaan terkawal. “Ini lah Party Planner I malam ni, Nadira.”

Nadira menghulurkan tangan tapi di sambut dengan sekadar menyapu hujung jari sahaja, seolah jari-jarinya adalah pusat pengumpulan bakteria.

“Ini Puan Sri Suhaida, isteri Tan Sri Nordin.” Nadira hanya mengangguk.

Nama Tan Sri Nordin dan Puan Sri Suhaida sering keluar dalam majalah Malaysia Tatler terus di kenali Nadira, dia sering membelek majalah itu untuk melihat ragam dan jenis majlis yang di hadiri orang-orang kelas atasan. Nadira menawarkan satu senyum namun sedikit pun tidak di balas. Keras sangat ke pipi tu Puan Seri…terlebih botox ye Dia rasa gelihati dengan perangai mereka yang berharta dan berkedudukan.

Majlis bermula dengan ucapan Datin Muhaini yang meleret-leret, memuji-muji Puan Seri Suhaida dan beberapa Puan Seri dan Datin Seri yang hadir. Nadira dan Oya yang berdiri di hujung ruang tamu itu sambil menantikan ‘que’ seterusnya, terpaksa menadah telinga, menepuk tangan apabila hadirin bertepuk tangan, dan gelak kecil apabila hadirin gelak dengan lawak yang tidak berapa kelakar. Kaki mereka terasa lenguh dan Nadira kadang-kadang bergerak kiri dan kanan untuk menyeimbangkan rasa lenguh yang mengigit-gigit. Mana tidak dari siang hingga kini, kaki itu ke sana dan ke sini memastikan segalanya berjalan lancar.

“Ni agaknya Persatuan Datin-Datin Kesepian kot eh..” Nadira ketawa kecil mendengar kata Oya itu dan cepat menyiku perlahan lengan Oya.

“Gila betul la pompuan ni. Mengenangkan kita charge dia tinggi je aku sabar ni Dira…” bisik Oya tanpa memperdulikan sikuan Nadira tadi.

“Ntahnya…Puan Seri tu sombong gila kau….tengok aku cam aku ni Bibik Indon dia…” Oya mengerling Puan Seri Suhaida yang tersengih-sengih di puji.

“Engkau rasa rantai kat leher dia tu real ke ?”

“Aku rasa real la beb…tadi siap senyum meleret kena tegur pasal cincin Chopard dia..”

“Mak aih….kalau aku laki dia bukan Chopard dah..kopak dah aku.” Ketawa mereka yang agak kuat membuatkan beberapa orang berpaling dan mereka cepat-cepat mengulum ketawa.

“Diam la kau Oya…”

“Kau tu….lah…eh ok dah abis speech, aku nak arah adik-adik tu bawak masuk makanan…”

Makanan di bawa masuk satu persatu, hingga semua yang duduk menanti mendapat makanan mereka. Sempat juga telinga Nadira menangkap pujian kesedapan makanan malam itu. Walaupun tidak di katakan terus pada dia atau Oya, pujian-pujian yang sebegitu sedikit sebanyak menghilangkan rasa penat mengelolakan majlis yang kecil tapi agak mencabar itu.

MAJLIS berjalan lancar, dan hanya selesai jam 11.30 malam. Setelah siap membersihkan ruang tamu dan mengatur semula semua perabut ke tempat asal, Nadira dan Oya melihat sekeliling dan tersenyum puas. Datin Muhaini gembira dan tidak henti mengucapkan terima kasih, dia juga sudah membuat promosi percuma untuk O&D Party Planner.

“Esok pagi aku bank-in cheque ni ..Alhamdulillah..kaya kita D..”

Nadira yang sedang menolak masuk kotak terakhir ke dalam bonet Storm sebelum menutup pintu mengangguk sahaja. Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Urat-urat terasa tegang semuanya.

“Aku mengantuk sangat, ko drive lah..” tanpa menunggu jawapan Oya, Nadira segera membaling kunci kereta yang terjatuh ke tanah tanpa sempat disambut. Terdengar hamun Oya dan Nadira hanya mampu tersengih dan terus menolak badannya ke dalam kenderaan itu.

“Malam ni aku tidur rumah kau la D…”

Nadira hanya mengangguk, matanya sudah nampak dua-tiga-empat bayangan, dan kelopak matanya tidak mampu lagi di tahan dari terbuka, akhirnya dia tertidur, berdengkur halus namun Oya tetap bercakap tidak henti-henti.

No comments:

Post a Comment